Bismillah hir rahman nir rahim.
Assalamualaikum sidang pembaca sekalian,
Sekadar peringatan buat diri sendiri dan semua.
. . .
SOALAN ITU
Seorang ustaz terkenal, dia pernah berkata seperti ini (lebih kurang) dalam salah satu ceramahnya, “Saya nak tanya tuan-tuan yang ada dekat sini. Siapa yang tidak pernah melalui kesusahan dalam hidup selama ni?”
Dewan menyepi.
Tiada seorang pun yang angkat tangan atau berkata “saya” atau menunjukkan apa-apa bahasa badan/riak muka untuk mengiakan persoalan ustaz tersebut.
. . .
MAKNA ITU
Situasi di atas amat direct untuk kita dapat fahami apa yang ingin disampaikan.
Maknanya, tiada siapa yang tidak pernah melalui kesusahan sepanjang hidupnya. Tidak kiralah dia sudah hidup berapa lama. Boleh jadi baru berusia 15 tahun, 24 tahun, 40 tahun atau sebagainya, seseorang itu pasti pernah melalui kesusahan.
Dan kesusahan itu pun boleh jadi apa sahaja. Kebiasaanya, apabila kita ditimpa kesusahan, kita rasa kesusahan itulah yang paling susah dalam dunia dan orang lain pasti tidak akan memahaminya. Kita rasa kita sahajalah yang serabut dan merasai kepayahan itu. Walhal, banyak lagi orang di ‘luar’ sana yang sedang mengalami kesusahan. Samada orang itu yang rapat dengan kita atau tidak, yang kita kenal atau tidak, lazimnya kita sendiri juga tidak akan merasai kesusahannya.
*luar – selain dari diri kita
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Balad ayat 4:

“Sungguh, Kami telah menciptakan manusia berada dalam keadaan susah payah”
Mungkin kita tertanya, kenapalah Allah nak susahkan hidup kita?

“Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun” [Al-Mulk:2]
Jangan sesekali kita terlupa, inilah dunia. Selagi kita masih bernafas, kita masih berada dalam kehidupan dunia. Dan kehidupan ini memang penuh dengan kesusahan. Di mana pun kita mahu melarikan diri, kita tetap akan berhadapan dengan kesusahan.
Kita hanyalah manusia. Bukan malaikat. Bukan apa sahaja makhluk yang kita rasa hebat. Tidak pernah sesekali Allah menuntut kesempurnaan dari kita. Allah Maha Mengetahui. Dia yang menciptakan kita. Dia tahu kita makhluk yang sangat lemah. Bahkan Allah tidak pernah meninggalkan kita, dan Allah tidak pernah membiarkan kita berada di dalam kebuntuan, terkapai-kapai keseorangan apabila mengalami kesusahan. Allah sentiasa ada bersama kita.
Walau apa pun kesusahan itu, Allah sudah banyak kali mengingatkan kita -INGATLAH DIA.

“Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” [Qaf:16]
Masalahnya ialah kita. Kita yang mungkin tidak cukup yakin dan bersangka baik dengan Allah. Apabila kita ditimpa kesusahan, kita mula rasa hidup ini tidak adil, tiada siapa memahami situasi kita, mengapa Allah mahu hadapkan kita dengan kesusahan ini, kenapa saya, dan bermacam lagi sangkaan kita terhadap hidup ini. Tanpa sedar, kita sebenarnya telah bersangka bermacam-macam terhadap Allah SWT. Na’uzubillah min zalik.
Tergamak kita bersangka sedemikian dengan pencipta kita! Padahal kita sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang kehidupan ini. Kita hidup pun kerana Dia yang memberi kehidupan ini kepada kita. Seteguk air pun adalah dariNYA. Ciptaan material yang hebat pun adalah kerana Dia yang memberi keupayaan berfikir itu kepada kita.
Dan kita masih mahu mempersoalkan macam-macam kepadaNYA?
Alangkah kejinya kita terhadap diri kita sendiri sebenarnya!
Jadi bagaimana?

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) Al-Quran yang serupa (ayat-ayatnya) dan berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki. Dan barangsiapa dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak ada seorang pun yang dapat memberi petunjuk” [Az-Zumar:23]
Kembalikanlah hati kita, diri kita kepadaNYA. Bunyi mudah, cliche mungkin. Tetapi adakah kita buat? Kita sendiri yang menahan hati kita untuk kembali kepadaNYA, kerana itulah kita memang tidak pernah rasa tenang. Kononnya apabila susah, kita baca quran. Kita menadah tangan membaca doa. Ada juga yang memasang lagu-lagu berunsur ketuhanan dengan harapan agar semua ini dapat menenangkan kita. Tetapi kita tetap tidak berasa tenang.
Kerana kita terlupa untuk kembalikan hati kita kepadaNYA.
Kita membaca al-quran dengan lidah. Kita melihat bait-bait ayat al-quran itu dengan mata. Tetapi kita tidak sedikit pun menghayati kata-kata Allah itu dengan hati kita. Kita tidak sampai pun rasa lidah kita terkelu untuk membaca ayat seterusnya dan sampai mata kita basah menangis kerana takutkan kepadaNYA.
Kita menadah tangan untuk berdoa kepadaNYA. Membaca doa dengan mulut kita. Tetapi kita terlupa untuk membawa hati kita bersama dalam doa itu. Apabila berdoa, kita bertanya dan meminta. Tetapi kita lupa untuk mengagungkanNYA, merasai betapa hinanya kita dihadapanNYA.
Kita mengharap Allah tenangkan kita, tetapi kita tidak merelakan, mengembalikan, melepaskan hati kita kepadaNYA. Kita masih tidak cukup yakin Allah pasti ada sesuatu perancangan yang lebih baik untuk kita, atau kerana kesusahan itu, Dia mahu ‘siapkan’ atau ‘sediakan’ kita untuk sesuatu yang lebih mencabar. Dan Allah Maha Mengetahui yang terbaik buat kita. Kerana Dia yang menciptakan kita, dan kerana kita akan pasti kembali kepadaNYA.
Jika benar kita letakkan hidup dunia ini untuk akhirat, apa pun masalah, kesusahan atau kepayahan yang kita hadapi itu akan hanya berbentuk picisan. Kerana semua yang kita lalui ini adalah kehidupan dunia yang sangat senteng waktunya.
Hidup di mana malaikat izrail hanya menuggu arahan untuk mendatangi kita.
Zaman di mana malaikat israfil hanya menunggu arahan untuk meniupkan sangkakala penamat dunia.
Seperti soalan ustaz pada awal penulisan ini, siapa yang tidak pernah melalui kesusahan? Semua orang pernah, dan kesusahan itu sudah pun kita laluinya. Maka tanyakan kembali kepada diri kita, apa yang memampukan kita untuk melaluinya? Yang menguatkan hati kita. Yang memperbaikkan keadaan. Yang memberi pertolongan tanpa dijangka. Yang mengizinkan seseorang lain membantu kita. Bukankah itu rahmat Allah?
Masih mahu merungutkah kita…
Allahua’lam..
